Pinjaman Peribadi
Bunga 40%: Mengapakah Pinjaman Peribadi Dari Pengurup Wang Tidak Berlesen Bukan Langkah Bijak?
Berhutang, atau dalam Bahasa formal-nya pinjaman, merupakan antara institusi kewangan yang sudah tidak asing lagi bagi setiap mereka yang bekerja. Pinjaman sama ada di dalam bentuk pinjaman kenderaan mahupun perumahan sudah menjadi suatu kemestian bagi mereka yang mahu memulakan langkah mereka menuju usia dewasa.
Bagi sesetengah daripada kita yang beruntung mempunyai skor CTOS yang cantik, dianugerahkan rezeki yang saban bulan tidak putus, malah dikala kegawatan masih lagi menerima bonus tahunan, kemampuan untuk mendapatkan pinjaman peribadi dari institusi-institusi pinjaman tersohor pada kadar faedah yang terendah sudah hampir menjadi kebiasaan di kalangan mereka yang duduk di tangga M40 dan T20.
Anda boleh cari senarai syarikat pinjaman wang berlesen di sini jika nak. Tapi sila jangam memohon pinjaman peribadi dengan yang tidak berlesen, memang tidak berbaloi.

Bagaimana pula golongan B40? Atau M40 yang sudah kekurangan pendapatan akibat kesan pandemik?
Bagi mereka yang belum dikategorikan sebagai golongan terdesak, sudah semestinya pilihan yang akan diambil untuk memastikan beras di dapur mencukupi, hutang kereta bulan ini berbayar dan susu untuk anak minum sudah tersedia, pinjaman peribadi daripada institusi-institusi kredit boleh dijadikan pilihan.

Bagaimana pula golongan yang termasuk di dalam kategori senarai hitam?
Apa yang anda faham apabila anda bertemu dengan mereka yang dikategorikan senarai hitam? Secara umum, senarai hitam yang disebut-sebut oleh mana-mana pihak yang menawarkan pinjaman kredit kedai motor, kereta dan yang seangkatan dengannya bererti:
“Blacklist CCRIS dan CTOS boleh dikategorikan sebagai istilah tahanan atau kurungan bersifat sementara selagi hutang peminjam tertunggak tidak diselesaikan.”
Disebabkan oleh tanggapan salah orang ramai yang menganggap senarai hitam ini berbentuk selamanya, sedangkan apabila anda dikategorikan oleh CCRIS dan CTOS sebagai pembayar hutang yang bagus anda sudah tidak lagi disenarai-hitamkan, maka inilah yang menjadi makanan oleh syarikat pinjaman wang tidak berlesen atau ahlong.
Mudah, ringkas dan pantas, ahlong memberi pinjaman bukan berdasarkan pemeriksaan kredit tetapi dengan mengenakan faedah Maha Yahudi kepada yang terdesak.
Siapa yang begitu terdesak nak meminjam daripada ahlong? Ramai, memang ramai. Bagi kebanyakan dari kita yang mahukan wang yang berkadar segera, ahlong lah jawapannya meski risiko yang ada melangkaui logik pemikiran.
Namun apakah risiko yang dihadapi peminjam sekiranya membuat pinjaman peribadi dari peminjam wang tidak berlesen? Mengikut Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1951 yang menetapkan 1.5% sebulan sebagai faedah pinjaman, secara realitinya institusi-institusi haram ini meletakkan faedah secara sesuka hati.
Akta Pemberi Pinjam Wang (1951)
Mengikut peraturan yang ditetapkan untuk pinjaman tak bercagar, mereka (syarikat pemberi pinjaman wang – PPW) hanya boleh mengenakan kadar faedah maksimum 18% setahun (p.a) manakala bagi pinjaman bercagar kadar faedah yang boleh dikenakan ialah tidak melebihi 12% setahun (p.a).
Jadi, apa rasanya meminjam dari ahlong?

Bagaimana rasanya meminjam dari ahlong?
Tidak dinafikan meminjam daripada ahlong memudaratkan. Walau dalam apa situasi sekalipun, carilah jalan alternatif lain, dan jauhi keinginan meminjam dari peminjam wang tidak berlesen ini. Tetapi, bagi mereka yang masih lagi berkira-kira mahu menghubungi nombor peminjam wang tidak berlesen yang hinggap di lampu isyarat TTDI Jaya sebentar tadi, lakukan timbang tara dengan mengambil kira risiko-risiko yang disenaraikan sebelum anda mendail.

Sepuluh-tiga
Bagi pakar peminjam institusi pinjaman wang tidak berlesen, sudah tentu anda terbiasa dengan istilah dan terma ‘sepuluh-tiga’. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘sepuluh-tiga’? Sepuluh tiga bererti, setiap RM10 yang dipinjam, RM3 akan dikenakan sebagai faedah. Tidak banyak kan? Salah! Dengan terma sepuluh-tiga, jumlah wang yang anda pinjam akan dikenakan faedah sebanyak 30% dalam satu bulan.
Sekiranya anda inginkan RM10,000, jumlah kadar faedah yang perlu dibayar dalam sebulan adalah RM3,000. Faedah jika tempoh bayaran pinjaman adalah selama 12 bulan, jumlah faedah yang perlu dibayar di dalam tempoh waktu tersebut adalah RM 36,000.
Masih rasa berbaloi? Ini baru sepuluh-tiga. Adakalanya ianya sepuluh-empat dan sepuluh-lima.

Kos dan Terma Tersembunyi
Jika anda merasakan terma dan syarat yang dikenakan institusi kewangan berlesen seperti bank-bank dan pinjaman kredit, bayangkan syarat-syarat yang dikenakan oleh ahlong-ahlong ini.
Bagaimana jika anda terlepas sebulan bayaran? Sudah tahukah anda penalti yang akan dikenakan? Atau bagaimana jika anda meninggal dunia, adakah pinjaman anda dijamin oleh pihak institusi kewangan tidak berlesen ini.
Seperti bank, institusi-institusi sebegini mengenakan penalti yang sudah pasti lebih tinggi dari bank, jika faedah sahaja sudah 30%, bagaimana pula dengan penalti?
Bagaimana jika anda mahukan ‘full settlement’? Mimpi ajelah. Mana ada ahlong yang mahu penyelesaian terus jika bunganya sahaja boleh buat kenyang perut selama setahun?

Kad Bank/Dokumen Peribadi sebagai Deposit
Melalui penceritaan seorang rakan sekerja yang pernah masuk ke kancah pinjaman ahlong, kad bank beliau diambil oleh ahlong sebagai deposit keselamatan bagi memastikan pembayaran berterusan.
Ada yang akan memegang kad pengenalan dan passport demi memastikan anda tidak lari. Sanggupkah anda menggadaikan data peribadi anda demi wang yang tidak berbaloi?

Hutang atas Hutang
Pernah mendengar konsep ‘Consolidated Loan’? Consolidated loan atau pinjaman gabungan merupakan konsep dimana kesemua pinjaman anda disatukan didalam satu hutang besar untuk memastikan anda tidak rugi dari segi pembayaran faedah yang berbeza. Ini merupakan satu bentuk hutang atas hutang, pengambilan hutang baru untuk menyelesaikan hutang lama.
Ahlong turut bertindak sedemikian rupa, apabila peminjam yang terdesak untuk membayar faedah yang tinggi akan bertindak mengambil hutang lain untuk menutup hutang sedia ada. Inilah yang menjadikan mereka yang berhutang akan terus bergelumang dalam hutang yang tidak berkesudahan.
Keganasan
Saban hari, rakyat Malaysia dihidangkan cerita keganasan pemungut hutang, simbahan cat merah, pos peluru hidup serta tindakan-tindakan mengaibkan peminjam akan hutang yang tidak dibayar.
Mahukah anda meletakkan keluarga anda di dalam bahaya?
Jauhi ahlong dan berusaha untuk memastikan pinjaman yang kita buat hari ini tidak akan memudaratkan di hari kelak. Dapatkan khidmat nasihat dari pakar kewangan yang tahu selok-belok untuk memastikan bank berminat untuk memberi pinjaman kepada anda. Bagaimanakah caranya? Nantikan penulisan kami yang selanjutnya.